JAKARTA: Setiap kali menjelang bulan Ramadan, menziarahi kubur kaum keluarga sudah menjadi tradisi bagi umat Islam di Indonesia.

Ziarah kubur atau juga dikenali sebagai nyekar menjadi kelaziman atau sudah menjadi tradisi yang sukar dipisahkan dalam kalangan masyarakat Indonesia.

Seminggu sebelum ketibaan Ramadan, umat Islam akan beramai-ramai keluar mengunjungi tanah-tanah perkuburan untuk membersihkan kubur selain memanjatkan doa serta menabur bunga dan air mawar di pusara kaum keluarga atau orang tersayang.

Memetik laporan portal CNN Indonesia, amalan itu sudah menjadi tradisi yang diwariskan daripada nenek moyang umat Islam negara berkenaan.

Menurut budayawan Jawa, Irfan Afifi, semua daerah di Indonesia tidak akan terlepas daripada melakukan ziarah kubur.

Bahkan, kata Irfan, ritual yang dilakukan sama sahaja iaitu membersihkan pusara dan berdoa.

"Dalam kalangan masyarakat Jawa, selain bunga, ada juga yang membawa kemenyan, dibakar di kawasan tanah perkuburan," jelas Irfan seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Bagaimanapun, Irfan menegaskan, kemenyan yang dibakar itu bukanlah bertujuan menyembah atau memuja, sebaliknya, ia sekadar untuk mengharumkan kawasan pusara.

Selain kemenyan, air mawar juga, jelas beliau, akan disiram di kubur.

Sementara doa yang dibaca pula bersesuaian dengan ajaran syariat Iskam menggunakan bahasa Arab, namun, di beberapa daerah pula, katanya, masyarakat setempat lazimnya berdoa dalam bahasa Jawa.

“Mungkin dianggap (doa dalam bahasa Jawa) sebagai jampi, tapi sebenarnya doa. Hanya berdoa dalam bahasa ibu (suku Jawa) jadi dianggap seperti jampi sedangkan maksudnya sama doa kepada Allah," jelas Irfan lagi.

Umat Islam di Indonesia juga, ujar Irfan, tidak hanya menziarah kubur kaum keluarga atau orang tersayang, sebaliknya, semasa nyekar juga, mereka mengambil kesempatan mengunjungi pusara para wali.

Kunjugan ke atas pusara para wali itu, katanya, sebagai tanda penghormatan yang tinggi masyarakat.

Sementara itu, jurucakap organisasi pertubuhan Islam, Nahdatul Ulama Bandung, Wahyul Afif Al-Ghafiqi menerangkan, berdasarkan hukum dan pandangan Islam berhubung amalan ziarah kubur ialah dibolehkan dan tidak bertentangan dengan ajaran agama.

"(Ziarah kubur) adalah tradisi yang baik dan merupakan bentuk ibadah yang dianjurkan dilakukan di dalam agama Islam," kata Wahyul kepada CNN Indonesia.

Bahkan, jelas Wahyul, menziarahi kubur dapat membantu seseorang itu mengingati kematian selain berpeluang membuat persiapan untuk menghadap Allah SWT apabila sampai masanya kelak.

Namun begitu, beliau mengingatkan umat Islam agar tidak berlebih-lebihan semasa melakukan nyekar dan memadai amalan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah.

"Berdoa pun hanya kepada Allah SWT, tidak boleh berdoa meminta daripada pusara atau orang yang sudah meninggal dunia," tuturnya.